Ahad, 2 September 2012

Wisata Madani Turki [Bhgn. 2]

Sahabat-handai mengiringi pemergian kami di LTAB Kuala Lumpur
Misi Wisata Madani (WM) Turki kali ini adalah untuk menjejaki tokoh-tokoh terbilang iaitu Fatih Sultan Mehmed, dan Bediuzzaman Said Nursi. Di samping itu, kami juga menjejaki Sultan Abdul Hamid II yang juga merupakan khalifah terakhir umat Islam di muka bumi ini.

Apabila kami katakan menjejak tu, maksudnya adalah menziarahi tempat-tempat yang ada kaitan dengan tokoh tersebut, baik secara langsung, ataupun tidak langsung. Selain dari itu, kami juga akan mengumpul bahan-bahan berkaitan tokoh-tokoh tersebut agar maklumat yang kami perolehi adalah tepat dan sahih.

Lepas tu buat apa? Lepas tu, kami akan kongsikan maklumat-maklumat berkenaan tokoh-tokoh tersebut untuk kita ambil pengajaran dan pedoman. Bak kata pepatah, ‘yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan’.

Jikalau anda berminat, anda boleh hubungi kami untuk adakan sesi perkongsian pengalaman di tempat anda.

Peserta WM kali ini ialah Huzaifah (SUA GPTD merangkap Pengarah Kreatif / Penyelaras Program), Izham, dan saya, Che Din (Ketua Grup). Kami akan berlepas bersama Kak Wan Azizah (FGN) yang akan menyertai rombongan Malaysia ke program Ziarah Bosnia-Turki 2012 anjuran WADAH.

Lepas daftar masuk (check-in), kami pun pergilah alas perut di KFC. Sebaik selesai alas perut, tanpa disangka-sangka, kami bertembung dengan Tn. Hadi dan Tn. Anuar dari Grup Peguam ABIM (GPA). Rupa-rupanya, mereka akan menaiki pesawat yang sama dengan kami.

AlhamdulilLah, indah sungguh aturanNya. Meriah sikit, berenam kami semuanya.

Kami berlepas pada hari Isnin 21 Mei 2012, jam 12:30 malam dengan pesawat Malaysia Airlines. Terima kasih kepada yang iringi kami ke LTABKL malam tu. Ramai, sampai 8 orang!

Ini bukanlah pesawat kami, tetapi pesawat yang mendarat di LTAB Atatürk, İstanbul
Pesawat Boeing 777-200 yang kami naiki tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Atatürk, İstanbul jam 6:10 pagi.

6 jam je perjalanan? Bukanlah! Perbezaan masa Malaysia dengan Turki adalah sebanyak 5 jam. Ertinya, perjalanan kami memakan masa lebih kurang, err.., aha, 10 jam 40 minit! Masa kami sampai di İstanbul, suhunya hanya 16°C. Alamak, sejuknya!

Sebaik melepasi pemeriksaan imigresen, rakan kami, Faruk, telah sedia menanti. Kami akan menginap di rumahnya sepanjang WM kali ini, manakala Kak Wan akan meneruskan perjalanannya sebentar lagi ke Sarajevo bagi menyertai ahli rombongan yang lain.

Izham dalam perjalanan ke rumah Faruk

Lebih kurang setengah jam kemudian, kami tiba di rumah Faruk. Di rumahnya, kami beramah mesra dengan bertukar-tukar maklumat tentang latar belakang masing-masing.

Sambil kami berehat-rehat, Faruk bersuara, ”Sebentar lagi, kawan saya, Sinan, akan tiba. Dialah yang akan bawa kamu semua melawat sekitar İstanbul nanti. Maafkan saya kerana tak dapat bawa kamu kerana saya ada kelas.”

”Tak mengapa, terima kasih kerana sudi tumpangkan kami di rumah kamu, Faruk. Harap kehadiran kami ni tak menyusahkan kamu,” balas Huzaifah.

“Tidak, jangan sesekali cakap begitu! Kitakan saudara seIslam? Jika saya ke Malaysia, pasti kamu akan lakukan perkara yang sama, kan?” balas Faruk sambil tersenyum.

“Ya, insya Allah!” jawab kami semua hampir serentak.
AlhamdulilLah, nikmatnya ukhuwah Islamiyyah!

Tembok Kompleks Masjid Fatih, terbentang promosi Sambutan Ulangtahun Pembukaan İstanbul yang akan diadakan di Stadium İnönü, Beşiktaş
Tak lama kemudian, Sinan pun tiba. Selepas taaruf ringkas, kami mulakan lawatan kami dengan menuju ke Masjid Fatih.  

Bersambung...

Tiada ulasan:

Rakan Blog

ANDA Pengunjung Ke

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP