Khamis, 30 Ogos 2012

Ulasan Buku: Badiuzzaman dan Dakwah Risalah an-Nur



Tajuk:
Badiuzzaman dan Dakwah Risalah an-Nur

Penerbit:
Biro Kajian Ilmiah Altınbaşak,
Penerbitan Altinbaşak,
Hayrât Vakfi, İstanbul,
Türki


Terjemahan:
Biro Terjemahan Hayrât Vakfı
[Sadik Ozata] [Abdüllah Doğan] [Mohd Firdaus Sahiddin]

Biro Kajian Ilmiah Altınbaşak,
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia


Tahun Penerbitan:
2011

Kulit:
'Paperback'

Saiz:
105mm X 147mm (Saiz poket)

Ketebalan:
96 mukasurat

Warna halaman:
Teks - Monokrom (Hitam-putih)

Ulasan:
Setakat maklumat yang diterima, buku ini tidak dijual tetapi diedarkan secara percuma oleh wakil Yayasan Hayrât di Malaysia.

Badiuzzaman dan Dakwah Risalah an-Nur mengisahkan secara kronologi peristiwa yang dilalui oleh tokoh terbilang, Ustaz Badiuzzaman Said Nursi.

Buku ini dimulai dengan latar belakang ringkas beliau. Kisahnya diikuti dengan kenyataan Gladstone yang ingin memisahkan al-Quran dari kehidupan umat Islam seterusnya menyebabkan Badiuzzaman berazam dan bertekad untuk membuktikan keajaiban al-Quran sebagai mukjizat besar RasululLah SAW.

Dalam bahagian-bahagian seterusnya, dicatatkan peristiwa demi peristiwa yang ditempuhi oleh beliau, termasuklah perdebatan, usaha menubuhkan universiti integrasi ilmu Islam dan sains moden - Madrasah az-Zahra, penglibatan dalam Perang Dunia, pertembungan beliau dengan pihak pemerintah, dan juga penghasilan Risalah an-Nur.

Pertembungan usaha dakwah yang dibawa beliau dengan ideologi politik sekularis telah menyebabkan beliau dihukum buang daerah beberapa kali, ironinya, menjadi asbab dakwah beliau tersebar luas dan semakin diterima masyarakat.

Sepanjang tempoh pembuangan inilah, Badiuzzaman telah menghasilkan karya agungnya, Risalah an-Nur, yang merupakan tafsir maknawi kepada al-Quran. Hujah-hujah al-Quran telah dikemukakan dengan pembuktian saintifik yang menyanggah proses pembaratan dan pensekularan masyarakat ketika itu. Sehingga kini, Risalah an-Nur telah tersebar ke seluruh dunia dan masih digunakan sebagai rujukan para pendakwah.

Di bahagian penghujung buku ini, turut dijelaskan penubuhan Yayasan Hayrât oleh anak murid yang juga pengganti kepada Badiuzzaman dalam gerakan dakwahnya, iaitu Ustaz Ahmed Husrev Altınbaşak.

Bagi mereka yang belum dan ingin mengenali siapakah Badiuzzaman Said Nursi dan gerakan dakwahnya, buku kecil ini merupakan naskhah yang wajib dimiliki. Bagi yang telah pun terdedah dengan riwayat Badiuzzaman dan gerakannya, buku ini masih wajib dibaca.

“Penawar bagi abad yang sakit, bangsa yang berpenyakit,
dan anggota yang lumpuh adalah menuruti al-Quran.
Penawar bagi benua besar yang malang, negara hebat yang tidak bertuah
dan kaum mulia yang tidak bertuan adalah kesatuan Islam.”
(Badiuzzaman Said Nursi, Hutbe-i Şamiye, Dimasyq, 1910M)

1 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum wbt,
Bagaimana saya ingin mendapatkan dan memiliki buku ini dalam penulisan bahasa malaysia?

Terima Kasih.

Rakan Blog

ANDA Pengunjung Ke

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP