Ahad, 23 April 2006

Program Penerangan & Ziarah Ukhuwah

ALHAMDULILLAH, 3 hari berturut-turut saya telah terlibat dengan program-program di luar pejabat. Walaupun letih tetapi puas. Moga ALLAH S.W.T. kurniakan kekuatan.

Ahad, 24 Rabiul Awal / 23 April
Bersama-sama penggerak dari Islamic Outreach ABIM (IOA), GPTD, GPM dan PKPIM menziarahi masyarakat Cina Muslim di Pulau Ketam. Keadaan mereka agak menyedihkan. Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab lawatan tersebut diatur untuk menyelami permasalahan saudara kita di sana serta mengatur projek-projek susulan utnuk membantu mengurangkan beban mereka.

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Amin Lam, Ustaz Ali dan lain-lain di Balai Islam Pulau Ketam atas kerjasama yang diberikan. Semoga kalian sentiasa diberikan kekuatan oleh ALLAH untuk meneruskan misi hidayah di sana.

Kepada semua pihak yang berkemampuan, saya di sini merayu sumbangan yang boleh disampaikan untuk masyarakat Cina Muslim di sana, khususnya dalam bentuk kewangan. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada Ustaz Amin Lam, Pengerusi JK Balai Islam Pulau Ketam.

Sabtu, 23 Rabiul Awal / 22 April
Menyampaikan taklimat berkenaan GPTD Turki pada Program Penerangan GPTD di Masjid al-Hidayah, Seksyen 18 Shah Alam bersama-sama Tuan Pengerusi GPTD, Sdr. Jufitri Joha. Alhamdulillah, kehadiran pada malam itu sangat memberangsangkan. Respon yang diberi oleh peserta dan pihak masjid juga amat menggalakkan.

Terima kasih dan tahniah khususnya diucapkan kepada Sdri Nur Nadzifa (Pengarah program merangkap EXCO Wacana & Kajian Ketamadunan GPTD) dan Sdri Aini Yusof dari INTEC Shah Alam yang banyak membantu untuk menjayakan program tersebut. Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada AJK Pentadbiran Masjid al-Hidayah atas kerjasama yang diberikan. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang hadir pada malam tersebut, khususnya para pelajar daripada INTEC.

Program tersebut merupakan program pertama Biro Wacana dan Kajian Ketamadunan (WATAN). Syabas diucapkan kepada mereka atas penganjuran program tersebut. Program lain yang akan dianjurkan oleh WATAN termasuklah Seminar Ketamadunan & Pengembaraan sempena Majlis Perhimpunan GPTD 5 Tahun. (Sila klik di sini untuk maklumat lanjut).

Jumaat 22 Rabiul Awal (21 April)
Bersama-sama Pengurus GPM, En Shirajuddin Sirat, memenuhi undangan pihak SAMT Hisamuddin Klang untuk menyampaikan taklimat ringkas berkenaan GPM dan GPTD sempena majlis penutupan Minggu Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sekolah tersebut (namun begitu saya agak tidak berpuas hati dengan penyampaian tersebut dan berazam untuk meningkatkan kualiti penyampaian kepada umum!). Alhamdulillah, kelihatan para pelajar sekolah tersebut menerima baik konsep GPTD dan menunjukkan minat untuk menyertai GPTD. Turut hadir ialah Sdr Mohd Saifullah Zulkifli, EXCO Pendidikan PKPIM.

Kesimpulan yang diperolehi daripada ketiga-tiga program ini, sesungguhnya umat amat memerlukan kepada golongan pendakwah yang progresif dan konstruktif serta mampu menjadi ejen kepada pembinaan tamadun khayra ummah (sebaik-baik umat). Masyarakat Islam juga harus sentiasa mengambil berat berat di antara satu sama lain agar tiada yang terpinggir.

WalLahu a'lam.

Rabu, 8 Februari 2006

Herkes Türkçe Konuşsun

Assalamualaikum! Hoşgeldiniz! (Selamat Datang!)

Insya Allah kali ini kita akan belajar sedikit bahasa Turki.

Nasılsınız?
([Anda] Apa khabar?)
İyiyim. Teşekkür ederim. Sen nasılsın? / Siz nasılsınız?
(Saya baik. Terima kasih. Anda apa khabar? / Kamu apa khabar?)

Senin adın ne?
(Apa nama kamu?)
Benim adım ....
(Nama saya ...)

Sabtu, 14 Januari 2006

Duta Perkecil Sistem Perundangan

MERUJUK rencana ‘Bersama Diplomat’ bertajuk ‘Turki tidak kisah digelar sekular’, saya ingin memberi reaksi kepada pandangan Duta Besar Turki ke Malaysia, Barlas Ozener, yang menyatakan pelaksanaan perundangan sivil dan syariah di negara ini akan mencetuskan kemelut. Kenyataan beliau tidak wajar dan seolah-olah memperkecilkan sistem perundangan negara.

Sungguhpun masih ada kekurangan sistem syariah di negara ini, ia jelas memelihara hak umat Islam. Oleh itu, tidak akan timbul konflik kerana perundangan Islam hanya diguna terhadap umat Islam. Bukan Islam pula tertakluk di bawah perundangan sivil.

Malaysia juga mencatatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam Perlembagaan. Oleh itu, pelaksanaan perundangan syariah di negara ini tidak patut dipertikaikan, apatah lagi oleh diplomat asing.

Ahad, 1 Januari 2006

İstanbul Seviyorum

Tempat tumpuan pelancong di Istanbul



MERHABA. Kini aku kembali.............

"İstanbul seviyor müsün?"1 tanya Pn. Zeynep. "Evet, çok seviyorum."2 balasku. "Neden?"3 tanyanya lagi, dengan penuh minat. "Çünkü, Türkiye tarihi ben çok seviyorum."4 jawabku dengan yakin, tanpa mempedulikan tatabahasa yang kugunakan betul atau tidak. Pn Zeynep hanya mengangguk faham, lantas memberitahu rakan-rakan sekelasku yang aku amat berminat dengan sejarah ketamadunan Turki. Dia kelihatan sedikit bangga mendengar jawapanku itu.

Sejarah, ya, sejarah. Betapa pentingnya sejarah. Tanpa sejarah, tiadalah masa akan datang. Tiada semalam, akan tiadalah hari ini dan juga esok. Dalam bahasa Melayu disebut sejarah, bahasa Inggerisnya pula history. Bahasa Arab menggelarnya tarikh atau sirah. Bahasa Turki pula meminjam bahasa Arab iaitu tarih.

Rakan Blog

ANDA Pengunjung Ke

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP