Jumaat, 11 Mei 2012

Badiuzzaman Said Nursi dan Risale-i Nur

Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1877M di sebuah kampung kecil bernama Nurs, yang terletak di daerah Hizan, dalam wilayah Bitlis (Timur Turki).

Beliau merupakan seorang ulama’ yang terbilang. Said Nursi tidak hanya menguasai ilmu-ilmu tradisional Islam, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu sains moden.

Disebabkan keilmuan beliau dalam bidang agama, ditambah pula dengan pengetahuan sains dan kepetahan berhujah, Said Nursi digelar ‘Badiuzzaman’, yang bermaksud keagungan zaman.

Badiuzzaman Said Nursi menyokong pendekatan tanpa kekerasan dan hubungan baik terhadap pihak Kristian.

Beliau membawakan ajaran Islam sepertimana yang diajar melalui sunnah RasulNya, dan juga menggunakan pendekatan melalui sains moden, serta mengasaskan sebuah universiti di bahagian timur wilayah Osmanlı, yang dinamakan Madarasah az-Zahra.

Walau bagaimanapun, kekalahan pihak Osmanlı di dalam Perang Dunia Pertama menyaksikan kehancuran Dawlah Osmanlı, serta penaklukan Istanbul dan beberapa bahagian wilayah Turki oleh kuasa asing, sekaligus merencatkan perkembangan Madrasah az-Zahra.

Detik-detk pahit ini turut menyaksikan transformasi dari Said Lama ke Said Baru, menandakan fasa baru dalam hidup Badiuzzaman.

Di sebalik sanjungan yang diterima atas khidmat yang beliau sumbangkan di dalam Darul Hikmah al-Islamiyyah*, dan sebagai seorang pejuang menentang British, Badiuzzaman melalui suatu perubahan mental dan spiritual.

Menyedari akan ketidaksempurnaan sains kemanusiaan dan falsafah keilmuan sebagai usaha beliau sampai kepada kebenaran hakiki, beliau memperkukuh pegangannya terhadap al-Quran sebagai panduannya yang mutlak.

Ketika dalam buangan di Isparta pada tahun 1926, Badiuzzaman Said Nursi mula menghasilkan karya yang membuktikan kebenaran iman dengan pembuktian yang padu. Beliau mula menghasilkan karyanya yang terkenal, Risale-i Nur.

Dengan menggunakan kaedah pembuktian menerusi logik dan hujah bernas, dan sentiasa membandingkannya dengan apa yang telah diajarkan oleh al-Quran dengan kemajuan yang dicapai melalui falsafah keilmuan moden, Risale-i Nur menjawab persoalan dan keraguan yang ditimbulkan oleh falsafah tersebut terhadap agama.

Kaedah yang menunjukkan kebenaran secara jelas dan mudah dengan cara yang tidak pernah ditunjukkan sebelum ini, berjaya menerangkan dengan bukti yang kukuh banyak kemusykilan di dalam agama.

Kaedah tersebut menyaksikan kejayaan yang luar biasa dalam menyelamatkan keimanan orang ramai dalam tekanan krisis keimanan yang tersebar ke seluruh Turki pada waktu itu**.

Tambahan pula, proses pem’Barat’an (westernization) merupakan fenomena global yang telah meresap masuk ke dalam dunia Islam ketika itu.

Penulisan Risale-i Nur mula berkembang, dan kejayaannya dalam menyelamat dan memperkukuh keimanan, dapat disaksikan di seluruh dunia Islam kini.

Said Nursi menawarkan kerjasama di antara Muslim dan Kristian yang ‘warak’ dalam usaha menentang komunisme dan materialisme***.

Namun begitu, dalam usahanya ini, beliau tidak pula bertolak ansur dalam hal-hal prinsip di dalam Islam. Beliau telah berjaya membantu orang ramai menghidupkan kembali sunnah RasululLah S.A.W.

_________________________________________________________________________________
* Darul Hikmah al-Islamiyyah – sebuah badan ulama’ yang merupakan sebahagian dari Jabatan Syeikhul Islam Dawlah Osmanlı

** Rakyat Turki mula menerima pembaharuan dan kemodenan yang dibawa dari Barat secara mutlak, termasuk meminggirkan agama dari kehidupan dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi

***Faham kebendaan yang melampau - segala khidmat dan keuntungan mesti dibalas dengan imbalan material

#Disesuaikan dari artikel 'The Contribution of Bediuzzaman Said Nursi in the Fields of Religion and Philospohy' oleh Dr. Oghuz Mashkur Khan (The Pen, edisi April - Jun 2012)

Tiada ulasan:

Rakan Blog

ANDA Pengunjung Ke

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP