Sabtu, 2 Mei 2009

Fatih Sultan Mehmed

Napoleon Bonaparte pernah berkata, “Kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Constantinople adalah yang paling layak menjadi ibu negaranya!”

Constantinople diasaskan oleh Maharaja Byzantine, Constantine I pada 330M dengan menjadikannya ibu kota Empayar Byzantine.

Namun begitu, dikatakan kota ini telah wujud sejak zaman empayar Parsi dan Alexander Agung lagi, iaitu sekitar 667 tahun sebelum Masihi.

Tentera Salib turut menjadikan Constantinople sebagai markas dalam ekspedisi peperangan untuk menjajah dan menindas umat Islam.

Istanbul

Pemerintah yang bertanggungjawab membuka Istanbul kepada Islam ialah Sultan Muhammad II, sultan ke-7 kerajaan Osmaniyah.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Pasti akan dibukakan kota Constantinople (kepada Islam); sebaik-baik pemimpin ialah pemimpinnya (yang memimpin pembukaan kota itu), dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”

Pembukaan Constantinople sebagai wilayah Islam merupakan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan sejak zaman sahabat Rasulullah S.A.W. lagi.

Hadis ini telah menguatkan lagi keazaman para sahabat dan mujahidin yang mendambakan pembukaan kota itu di tangan mereka.

Dengan izin Allah S.W.T., pada hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H bersamaan 29 Mei 1453M, Constantinople jatuh ke tangan tentera Islam.

Sesudah berjaya menundukkan Constantinople, Sultan Muhammad II menukarkan nama kota tersebut Istanbul dan kekal nama tersebut hingga ke hari ini.

Setiap tahun, tarikh 29 Mei disambut besar-besaran oleh penduduk Istanbul sebagai meraikan ulangtahun pembukaan kota tersebut.

Pembukaan kota Istanbul melibatkan usaha yang bukan sedikit serta dipersiapkan dengan tentera yang gagah dan sangat berdisiplin.

Dan sudah pasti, ketumbukan tentera yang hebat ini hanya mampu dipimpin oleh raja dan panglima yang hebat, iaitu Sultan Muhammad II al-Fatih.

Fatih

Sultan Muhammad II turut terkenal dengan gelaran ‘Fatih’, yang bermaksud pembuka, kerana kejayaannya membuka Istanbul.

Kekaguman dunia terhadap pembukaan Istanbul ditambah lagi dengan usia Sultan Muhammad yang ketika itu baru mencecah 21 tahun.

Kaedah yang beliau gunakan juga adalah luar biasa, tidak terjangkau dek pemikiran biasa.

Beliau telah mengerahkan agar 70 buah kapal perang ditarik melalui bukit yang tinggi sejauh lebih 3 batu dalam masa hanya satu malam!

Teknik tersebut berjaya melemahkan semangat tentera Byzantine lalu menyebabkan kejatuhan kota tentera tersebut tidak lama kemudian.

Sultan Muhammad II al-Fatih bukan sekadar panglima yang gagah, bahkan beliau merupakan pentadbir yang bijak lagi disayangi.

Keadilannya telah menyebabkan penduduk Islam dan bukan Islam menikmati hak sebagai warganegara dengan adil.

Kebebasan beragama dinikmati semua dan rakyat hidup aman dalam negeri yang makmur.

Beliau turut mewujudkan pendidikan percuma, selain menggalakkan aktiviti ekonomi.

Pusat aktiviti sosial ini berpusat di masjid agar rakyat dapat memahami dan mengamalkan Islam dengan sempurna.

Dapur awam yang terletak berhampiran masjid diarah menyediakan makanan kepada fakir miskin secara percuma.

Kecerdasan pemikiran Sultan Muhammad turut dimaklumi dengan kemampuan beliau menguasai 7 bahasa, selain beliau sendiri merupakan seorang penyair.

Sultan yang agung ini merupakan anak kepada Sultan Murad II dengan isterinya Huma Hatun.

Dilahirkan di Edirne (Adrianople), Sultan Muhammad II telah diasuh oleh ramai ulama’ sejak kecil serta mempelajari selok belok pentadbiran negara.

Selain dari kebijaksanaan yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada beliau, Sultan Muhammad II al-Fatih turut dibentuk peribadinya yang hebat oleh murabbi beliau, Syeikh Ak Syamsuddin.

Selain Istanbul, beliau turut menguasai 10 wilayah lain termasuk Serbia, Bosnia, dan Albania.

Beliau meninggal ketika berusia 49 tahun dan dimakamkan di Istanbul, Turki.

Tiada ulasan:

Rakan Blog

ANDA Pengunjung Ke

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP