Rabu, 27 Ogos 2008

Budaya Melayu Brunei Pengukuh Keislaman

Rencana oleh najm29@yahoo.com
[Utusan Malaysia, 26 Ogos 2008]


AZAN Subuh telah berkumandang. Kami berempat bergegas ke kenderaan pacuan empat roda milik keluarga Ali. En. Azam dan Ali telah pun menunggu di dalamnya. Sebaik sahaja saya menutup pintu, kenderaan yang kami naiki terus bergerak menuju masjid yang berdekatan.

“Belum pun pukul 5? Masih awal..” Saya melihat jam tangan, apabila merasakan tidur yang dinikmati belum cukup. “Awal rupa-rupanya solat Subuh di Borneo ni.”

Sebaik kami melangkah masuk ke ruang solat Masjid Kg. Pulaie, beberapa pasang mata tertumpu ke arah kami. Barangkali jemaah di sini perasan yang kami bukanlah ahli kariah masjid ini.

Salah seorang jemaah di dalam masjid tersebut menarik tangan Ali, barangkali bertanyakan asal kami. “Dari Semenanjung, orang Malaysia,” balas Ali. Saya hanya tersenyum.

Tidak lama kemudian, muazzin mengalunkan iqamah. Kami menunaikan solat Subuh bersama jemaah yang lain. Selesai solat, imam mengetuai zikir secara beramai-ramai. Sesudah berzikir dan berdoa, kami sempat bersalaman mesra dengan ahli kariah.

Dalam perjalanan pulang, sahabat saya bertanya kepada Ali, “Ada yang bertanya tentang kami?" Ali tersenyum. “Mereka bertanya, kamu semua dari mana? Saya jawab, dari Semenanjung, orang Malaysia.” Kami hanya mengangguk. Betul tekaanku, saya berkata dalam hati.

“Kamu semua tahu bagaimana mereka boleh cam?" giliran Ali pula bertanya kepada kami. “Mungkin sebab wajah kami?" Salah seorang dari kami meneka. “Barangkali. Tetapi sebenarnya, sebab kamu tidak berbaju Melayu lengkap atau berjubah.” Ali hampir tergelak. “Ada pula yang tidak berkopiah atau bersongkok. Berkemeja-T pula tu!,” Ali ketawa, tidak mampu lagi menahan rasa geli hatinya.

Terpinga-pinga

Demikianlah pengalaman pertama saya menunaikan solat Subuh di Negara Brunei Darussalam. Keesokan harinya, kami memakai pakaian yang bersesuaian dengan budaya setempat untuk menunaikan solat.

Rasa aneh? Mungkin. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, apa jua pakaian asalkan menutup aurat dan bersih, akan dipakai untuk menunaikan solat, baik di masjid ataupun di rumah.

Akan tetapi, berlainan halnya dengan masyarakat di Brunei.

Sekiranya anda berpeluang ke Brunei, dapat dilihat, disiplin pakaian ketika solat amat dititikberatkan.

Kunjungan rasmi saya bersama pemimpin-pemimpin Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) ke Brunei baru-baru ini memberikan pengalaman yang membuka mata untuk dikongsikan bersama masyarakat kita.

Lazimnya, ketika solat, warga Brunei akan mengenakan baju Melayu lengkap atau dengan kain pelikat dan bersongkok. Jika tidak pun, mereka akan mengenakan jubah dan berserban atau berkopiah.

Pentingnya keluarga

Ketika saya bertanya kepada Ali, mengapa hingga yang demikian halnya, beliau menjawab, “Dari kecil kami sudah dididik begitu. Solat merupakan perkara yang perlu kami pelihara, tidak boleh diambil mudah. Ia diambil kira seawal memilih pakaian yang akan dikenakan sewaktu solat."

Kami mempelajari sesuatu yang sangat berharga di sini. Budaya yang menyulami tatacara hidup masyarakat sehari-hari di sini memperkukuhkan lagi pegangan agama yang dianuti.

Selain daripada ketelitian berpakaian untuk menunaikan solat, kepentingan keluarga dalam kehidupan tidak pernah dipandang remeh oleh warga Brunei.

Bagi mereka yang pertama kali tiba di Brunei, mungkin akan terkejut tatkala melihat saiz rumah di sini yang besar-besar serta jumlah kenderaan yang bersusun di kediaman masyarakat Brunei.

Menjadi kebiasaan bagi warga Brunei untuk tinggal bersama ibu bapa setelah dewasa, walaupun selepas berkahwin. Sesetengah pihak mungkin bersikap prejudis terhadap amalan sedemikian.

Tiada kebebasan, tidak mahu berdikari, terlalu bergantung kepada ibu bapa - telahan yang biasa dikaitkan dengan amalan tinggal dengan ibu bapa setelah berkahwin.

Namun, dari segi kesan positif, budaya yang telah wujud sejak sekian lama ini telah berjaya membantu individu dari segi ekonomi, material dan keperluan sesama manusia.

‘Makan besar’

Bagi masyarakat di sini, keharmonian rumahtangga menjadi aspek penting dalam pembentukan masyarakat yang bertamadun. Oleh itu, pembentukan adab sopan, akhlak serta budaya yang baik menjadi faktor utama mengapa warga Brunei memilih untuk membudayakan amalan tinggal bersama ibu bapa walaupun selepas berkahwin.

Bagi mereka, selain menjimatkan kos kehidupan, hubungan kekeluargaan akan menjadi lebih erat serta menjadi seperti suatu sistem sokongan di kalangan ahli keluarga sekiranya terdapat masalah yang ingin dikongsi.

Seandainya tinggal berjauhan, kebanyakan daripada warga Brunei akan tetap mengadakan aktiviti bersama, seperti makan bersama ahli keluarga.

Lazimnya, ‘makan besar’ ini akan diadakan di rumah bersama ahli keluarga terdekat dan diadakan pada sebelah malam. Kekerapan pula bergantung kepada keluarga masing-masing.

Waktu ‘makan besar’ ini dimanfaatkan oleh setiap ahli keluarga untuk bertanya khabar serta melepaskan rindu masing-masing. Dengan aktiviti ini juga, setiap ahli keluarga sentiasa merasakan diri mereka dihargai dan disayangi.

Kami berkesempatan untuk bersama-sama keluarga Ali menikmati ‘makan besar’ yang antara lain diadakan untuk meraikan kehadiran kami di Brunei. Kami dimaklumkan, antara faktor yang menyebabkan rendahnya kadar jenayah dan gejala sosial adalah disebabkan dengan adanya aktiviti-aktiviti kekeluargaan yang sedemikian.

Tulisan jawi

Seperkara lagi yang menarik berkenaan Brunei adalah mengenai ketetapan mempamerkan tulisan jawi.

Semua premis perniagaan di Brunei diwajibkan untuk mempamerkan tanda perniagaan yang ditulis dengan tulisan jawi. Semua premis perniagaan yang kami lewati kelihatan mematuhi arahan tersebut.

Yang menjadikannya lebih menarik, nama perusahaan tersebut turut diterjemah ke dalam bahasa Melayu yang betul.

Sebagai contoh, United Overseas Bank telah diterjemah ke ‘Bank Seberang Laut Bersatu’ serta ditulis dalam tulisan jawi. Bahkan, perkataan Maybank turut tertera tulisan jawi!

Tulisan jawi bukan sekadar tertera pada papan tanda perniagaan, bahkan turut menjadi mata pelajaran wajib, termasuk di sekolah-sekolah aliran Cina.

Amat malang bagi kita kerana usaha memartabatkan kembali tulisan jawi masih belum mencapai tahap yang sepatutnya. Di negara kita, bahasa Inggeris pula kelihatan yang semakin mendominasi nama-nama perusahaan, bahkan kawasan kediaman.

Senario ini dilihat semakin mengikis nilai ketimuran serta merendah-rendahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia.

Usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan memperkenalkan matapelajaran Jawi, al-Quran dan Fardhu Ain (J-QAF) untuk mengatasi buta jawi dan al-Quran amat baik dan wajar disokong serta didokong oleh semua pihak.

Begitu juga dengan usaha Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dengan menerbitkan semula akhbar Utusan Melayu Mingguan perlu disokong serta dipuji.

Penghayatan Islam melalui budaya setempat

Banyak perkara menarik yang dapat dipelajari hasil kunjungan singkat kami ke sana.

Secara umumnya, penerapan nilai-nilai Islami dapat dipertingkatkan dengan menyulam kembali budaya yang selari dengan kehendak syarak. Pendekatan dakwah hari ini seharusnya mengambil kira budaya dan pengamalan masyarakat setempat dalam usaha mengembalikan masyarakat kepada penghayatan Islam.

Pemurnian kembali budaya masyarakat tempatan harus digerakkan dengan serius dan bersungguh-sungguh dalam usaha kita untuk melahirkan generasi bertamadun yang punya asas Islam yang kukuh.

Puisi, pantun, gurindam, nazam, seloka, bahkan kugiran harus diberi nafas yang lebih Islami kerana budaya Melayu menjadi pincang tanpa pemahaman Islamnya. Pendekatan kesenian dan kebudayaan juga dilihat lebih hampir dengan masyarakat di samping kaedah keilmuan yang biasa digunakan oleh para pendakwah.

Saya juga yakin mekanisme ini berkesan dalam mengatasi kemelut sosial dan budaya yang semakin parah dalam masyarakat kita hari ini. Adalah menjadi harapan semua, agar masyarakat yang cemerlang pengurusan keduniaannya, turut cemerlang dari segi syakshiyah dan akhlaknya.

Tiada ulasan:

Rakan Blog

ANDA Pengunjung Ke

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP