Assalamualaikum wa rahmatulLahi wa barokatuH
Selama berkecimpung dalam GPTD, 2 soalan yang biasanya akan ditanya adalah:
- Kenapa GPTD kaji tokoh Islam / masyarakat Muslim luar negara?
- Nama GPTD letak TAMADUN DUNIA, tapi kenapa skop kajian hanya tumpu pada TAMADUN ISLAM je?
Dalam ruangan yang terhad ni, saya nak bincang pasal soalan nombor 1 dulu. Hmm... bagaimana nak jawab ya?
Apa yang ada pada Muslim lain selain Malaysia? Banyak. Macam-macam ada. Bahasa, pakaian, makanan, adat resam, warna kulit, hampir semuanya BERBEZA. Tetapi yang satu tu tetap SAMA, AQIDAH ISLAMIYAHnya.
Kami ke luar negara bukan untuk melancong atau suka-suka. Bukan sekadar ambil gambar dan papar di laman sosial. Bukan sekadar nak merasa naik kapal terbang. Itu semua pakej yang kami perolehi dalam gerak kerja kami. Alhamdulillah.
Kami cuba menghayati beberapa firman ALlah S.W.T. berkaitan mengembara. Antaranya adalah:
"Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah."
(Surah Ghafir, ayat 21)
"(Selain dari itu), tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)? Orang-orang itu lebih ramai dari mereka, dan lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Dalam pada itu, apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya sedikitpun."
(Surah Ghafir, ayat 82)
"Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu; dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu."
(Surah Muhammad, ayat 10)
Antara pengajaran yang kami perolehi melalui ayat-ayat di atas adalah:
i) Mengembara adalah untuk mengambil iktibar tentang kekuasaan ALlah S.W.T.
ii) Menginsafi hakikat manusia adalah lemah walaupun mampu memakmurkan bumi dengan binaan yang megah
iii) Perbuatan mungkar yang tidak dicegah akan mengundang bala dari ALlah S.W.T. dan membinasakan sesuatu kaum
iv) Memerhati dan memikirkan akibat kemurkaan ALlah S.W.T. terhadap kaum yang kufur dan ingkar terhadap-Nya serta menambahkan keyakinan umat Islam (khususnya mereka yang terlibat dalam gerakan dakwah) terhadap janji kemenangan di dunia dan akhirat
Oleh itu, sebenarnya kembara melalui GPTD adalah 'kembara mencari erti', bukan sekadar melancong kosong.
Antara yang diperhatikan adalah, bagaimana Islam yang dipraktikan sepenuhnya berupaya membangunkan ketamadunan yang merubah perjalanan sejarah dunia. Ini dapat dilihat di al-Haramain, İstanbul, Cordoba, Syria dan banyak tempat lagi.
Sesudah mengembara di tapak tamadun Islam yang hebat, kembara diteruskan pula di kawasan yang dihuni oleh masyarakat Muslim dalam keadaan serba kekurangan. Kemboja, Thailand, Filipina, Indonesia, Sri Lanka - perlukan kunjungan lebih kerap dari saudara sesama Muslim.

Sudah pasti, pengalaman dan kesedaran yang diperolehi oleh para aktivis ini akan dikongsi bersama masyarakat Malaysia dan aktivis baru demi memastikan kesinambungan cita-cita dan gerak kerja GPTD tercapai.
Dalam pada itu, antara persiapan yang perlu kami lakukan adalah menguasai sekurang-kurangnya peringkat asas, bahasa yang digunakan oleh masyarakat di tempat yang ditugaskan.

من تعلم لغة قوم أمن مكرهم
'Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, dia akan terselamat daripada rancangan jahat mereka.'
[Mengenai hadis ini, dalam edisi berbahasa Melayu terdapat nota kaki berikut:
(Nasir al-Din) Al-Albani mengatakan: Saya tidak menemui hadis ini dengan lafaz tersebut dan tidak ada seorang pun yang menulis mengenai hadis yang sering disebutkan oleh orang awam yang menyebutnya. Seolah-olah hadis ini disebarkan kebelakangan ini. Tetapi hadis ini mempunyai makna yang sama dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (tidak berkata hadis ini Hasan Sahih), al-Hakim, Abu Daud dan Ahmad.]
Maksudnya di sini, GPTD memastikan para aktivis perlu menguasai beberapa perkara asas sebelum ditugaskan ke luar negara.
Wah, menarik bukan? Bukan setakat dapat ke luar negara, kuasai bahasa asing, dapat pula ziarah tempat-tempat yang bersejarah! Demikianlah antara pendekatan GPTD, menambah ilmu dan amal dengan menyelitkan secebis keseronokan bersulam seribu kesedaran.
Yang paling penting, mudah-mudahan dengan yang demikian ALlah S.W.T. tambah kefahaman dan iltizam kita dalam menjalankan kewajipan sebagai Muslim.
Semoga ALlah mengurniakan keberkatan kepada kami dan kepada kamu semua. Amin.
Sonra görüşürüz!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan